Kuih Seri Muka
Lapisan Bawah:
3 ½ cawan beras pulut rendam 1-2 jam - guna 2 1/2 cawan
3 cawan santan – dari 1 biji kelapa - guna 2 cawan
1 sudu kecil garam
Satukan kesemua bahan dan masukkan ke dalam loyang. Kukus di dalam periuk pengukus yang telah mendidih airnya sehingga masak. Angkat dan ditekan tekankan sedikit sehingga mampat. Boleh juga guna loyang yang lain.
Lapisan Atas:
4 cawan santan pekat – dari 2 biji kelapa dikisar dengan air daun pandan
2 cawan gula pasir
4 biji telur – saiz B/saiz C - guna B yang kecil
1 cawan tepung gandum - bagi penuh dan padat
1 sudu kecil garam
Kisar daun pandan dan tapis airnya. Masukkan air daun pandan ke dalam kelapa parut dan blend untuk mendapatkan jumlah santan yang diperlukan.
Telur dan gula dipukul seketika agak agak gula hancur sedikit. Tak perlu hancur betul betul pun. Masukkan 2 cawan santan terlebih dulu, pukul lagi sekejap.
Masukkan tepung dan kacau rata sebelum masukkan baki santan. Jangan terlebih pukul untuk menghasilkan permukaan kuih yang rata.
Masukkan loyang lapisan bawah ke dalam pengukus dan kukus sehingga panas, baru ditapis adunan ke atasnya dengan perlahan lahan di sekeliling loyang. Saya masakkan seketika lapisan atas, agak agak ianya keluar wap sahaja sebab pengukus saya banyak mengeluarkan wap.
Kukus selama  45 minit sehingga 1 jam atau sehingga masak. Mula mula kukus dengan api kuat dalam 10 minit. Bila nampak permukaan menggelembung, buka penutup dulu sehingga dah turun, baru tutup semula. Untuk 5 minit terakhir, buka penutup pengukus dan kukus tanpa penutup untuk mengeringkan air di permukaan kuih. Cucuk dengan lidi, jika tidak melekat menandakan lapisan atas telah masak.

Setelah betul betul sejuk, baru dipotong dengan pisau bersaiz kecil.

Comments

Popular Posts